DE Paula dan Liridon.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Hanya bekas pemain Kedah, Liridon Krasniqi dan penyerang utama Kuala Lumpur, Guilherme De Paula memenuhi kriteria sebagai pemain naturalisasi bagi memperkuatkan skuad kebangsaan.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, dua pemain terbabit memenuhi syarat ditetapkan Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) untuk diambil sebagai pemain naturalisasi.

Beliau berkata, pihaknya melakukan perbincangan bersama Jawatankuasa Teknikal FAM bagi mengenal pasti kelebihan dan kemampuan pemain itu sebelum menghantar dokumen berkaitan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Pemain naturalisasi yang memenuhi syarat untuk tempoh terdekat ini tidak banyak pilihan jika nak tunggu yang betul puas hati mungkin akan ambil masa.

“Jika ada kelemahan dalam pemilihan pemain naturalisasi, kita akan perbaiki pada masa akan datang,” katanya, ketika ditemui, di sini.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan Liridon dan De Paula hampir pasti menyarung jersi kebangsaan jika urusan dokumentasi mereka selesai.

Namun, timbul pula persoalan kemampuan mereka terutama De Paula apabila persembahannya bersama Kuala Lumpur kurang memuaskan, selain sudah berusia 33 tahun.

Mohd Yusoff berkata, pemain seharusnya tidak dinilai kepada pencapaian pasukan semata-mata, namun perlu melihat keupayaan individu berkenaan.

“Kita kena tengok secara keseluruhan terutama jika prestasi pasukan merudum bukan hanya membabitkan individu saja, namun semua yang terbabit dalam skuad berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 8:30 AM