RAMSEY ikat kontrak empat tahun bersama Juventus. - FOTO Agensi
Reuters

PEMAIN tengah Wales, Aaron Ramsey yakin juara Itali, Juventus adalah kelab yang tepat untuknya dan tak sabar bekerjasama dengan jurulatih baharu, Maurizio Sarri.

Ramsey yang mengikat kontrak empat tahun dengan Juve pada Februari lalu meninggalkan Arsenal selepas tampil lebih 350 kali dalam 11 musim bersama kelab Liga Perdana itu.

"Apabila saya mendengar Juventus berminat dengan saya, saya fikir ia mimpi menjadi nyata datang ke sini selain cabaran baharu. Anda tidak boleh menolak peluang ini. Ia kelab yang tepat untuk saya dan mahu menjadi sebahagian daripada sejarah,” kata Ramsey ketika sesi pengenalannya semalam.

"Skuad, pemain dan pengurus meraikan kehadiran saya. Saya bercakap dengan Sarri beberapa kali. Dia mudah didekati dan saya berharap dapat membantu pasukan.

"Daripada apa yang saya lihat musim lalu, dia mempunyai musim yang baik di Chelsea. Sudah pasti Sarri akan membawa bersama falsafah dan gayanya bersama pasukan ini,” kata Ramsey.

Pemain berusia 28 tahun itu menjadi pemain ketiga Wales beraksi bersama Juventus selepas John Charles yang beraksi di antara 1957-1962 dan Ian Rush.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 8:22 AM