AKSI De Ligt meraikan kejayaan menewaskan Juventus di Turin pada April lalu.
AFP

PEMAIN pertahanan, Matthijs de Ligt setuju menyertai Juventus, menurut laporan media Belanda dan Itali tetapi belum dapat dipastikan sama ada kelab Turin itu sudah mencapai persetujuan mengenai yuran perpindahan dengan Ajax.

Laporan menyatakan pemain antarabangsa Belanda berusia 19 tahun yang mengemudi Ajax ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu bersetuju dengan terma peribadi dan bakal tiba di Turin hari ini dan menjalani ujian perubatan esok.

Media Itali pula berkata, Juventus akan membayar Ajax 75 juta euro (RM346 juta) untuk mendapatkan bintang muda itu.

De Ligt dikaitkan dengan banyak kelab gergasi Eropah selepas beraksi cemerlang bersama Ajax dan Belanda musim lalu.

Dia tampil 117 perlawanan bersama Ajax dalam semua kejohanan, menjaringkan 13 gol termasuk tiga ketika Ajax mara ke saingan empat terbaik Liga Juara-Juara musim lalu sebelum tewas kepadaTottenham. De Ligt menjadi wira di Turin ketika Ajax menyingkirkan Juventus di suku akhir dan beraksi 17 kali bersama Belanda.

Semalam, Juventus memperkenalkan Aaron Ramsey, pemain tengah Wales yang setuju menyertai mereka pada Februari lalu selepas kontraknya bersama Arsenal tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 7:52 AM