DELPH mahu beraksi lebih kerap di Everton.
Reuters

EVERTON menandatangani pemain tengah England, Fabian Delph dengan kontrak tiga tahun daripada juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City, menurut jurucakap kelab, awal pagi tadi.

Pemain berusia 29 tahun itu yang tampil 20 kali bersama England terpaksa mencari pasukan lain selepas City baru-baru ini menandatangani pemain tengah Sepanyol, Rodri daripada Atletico Madrid dengan harga rekod kelab.

Delph mempunyai baki kontrak setahun bersama City dan beraksi 22 kali ketika City muncul juara musim 2017/18 tetapi hanya beraksi 20 perlawanan dalam semua kejohanan musim lalu yang menyaksikan City merangkul tiga trofi.

Maklumat lanjut mengenai nilai kontrak tidak dinyatakan tetapi media melaporkan yuran perpindahan membabitkan sehingga 10 juta pound (RM51 juta).

"Saya mahu beraksi dengan lebih kerap dan peluang datang dan beraksi bersama Everton tidak mampu saya tolak,” katanya dalam laman web kelab.

"Pada usia sekarang, saya mungkin salah seorang pemain berpengalaman, jadi saya berharap dapat menggunakannya dengan membantu rakan sepasukan mencapai kejayaan.”

Pengurus, Marco Silva berkata, Delph membawa bersama kualiti dan pengalaman kepada kelab yang menduduki tempat kelapan musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 7:29 AM