Iker Casillas sertai tugas sebagai jurulatih di Porto. FOTO Agensi
Agensi

PENJAGA gol Porto, Iker Casillas diberikan tugas sebagai jurulatih ketika legenda Sepanyol itu kembali pulih selepas mengalami serangan jantung dua bulan lalu.

Kelab Portugal itu berkata, tugas Casillas adalah memastikan hubungan baik antara pemain, jurulatih dan pengurusan.

Pemain berusia 38 tahun yang memenangi Piala Dunia bersama Sepanyol, mengalami serangan jantung secara tiba-tiba ketika menjalani latihan pada Mei lalu.

“Saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk membantu rakan sepasukan,” kata Casillas, yang sudah melaporkan diri pada hari pertama sebagai persediaan pra musim kelab itu pada 1 Julai lalu.

“Pengurus kelab sudah berbincang dengan saya musim lalu apabila kejadian itu berlaku kepada saya dan dia memberitahu mereka mahu saya kekal bersama mereka, lebih dekat dengan pemain, mendekati pemain muda, kerana mungkin ada berlaku banyak perubahan.”

Casillas meluangkan masa lima hari di hospital selepas serangan jantung dan ketika kejadian berlaku dia berkata “tidak mengetahui nasib masa depannya.”

Penjaga gawang itu berpindah ke Portugal dari Real Madrid pada 2015, melakukan 31 penampilan dalam liga musim lalu ketika Porto menamatkan saingan liga di tempat kedua.

Dia melakukan 725 penampilan untuk Real ketika 16 tahun kariernya di Stadium Bernabeu, membantu Real memenangi tiga kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah dan lima kali kejuaraan La Liga.

Dia juga mengetuai Sepanyol memenangi Piala Dunia 2010, begitu juga Kejuaraan Eropah pada 2008 dan 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 8:42 PM