GRIEZMANN bersama Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu di Stadium Camp Nou. - FOTO Agensi
AFP

PENYERANG Perancis, Antoine Griezmann kecewa dengan reaksi bekas kelabnya, Atletico Madrid mengenai perpindahannya ke Barcelona.

Barcelona mendedahkan mereka membayar klausa pelepasan pemain berusia 28 tahun itu sebanyak 120 juta euro (RM556 juta) bagi menandatangani pemenang Piala Dunia itu dengan kontrak lima tahun sekali gus mencetuskan kemarahan Atletico yang menyifatkan jumlah itu tidak mencukupi.

"Mengenai Atletico, ia sangat menyedihkan dan saya kecewa. Saya bertemu mereka sebelum ini supaya mereka tidak terkejut dan dapat bersiap sedia menghadapi masa depan,” kata pemain itu dalam sidang akhbar di Camp Nou.

"Kami mencapai persetujuan tetapi akhirnya diubah. Ia seperti anda perlu menerimanya,” katanya ketika ditanya reaksi Atletico.

Sejurus selepas Barca mengumumkan kejayaan mendapatkan Griezmann, Atletico tidak puas hati dan mendakwa kontrak Barcelona dan Griezmann ditandatangani sebelum nilai klausa pelepasan jatuh daripada 200 juta euro (RM927 juta) pada awal Julai.

"Atletico Madrid percaya penamatan kontrak berlaku sebelum penghujung musim lalu,” kata jurucakap kelab dalam satu kenyataan dan Griezmann tahu apa dilakukannya.

Atletico bersiap sedia mengambil langkah mempertahankan hak dan kepentingan mereka, menurut kenyataan itu lagi.

Griezmann menjaringkan 133 gol dalam 257 penampilan bersama Atletico sejak menyertainya daripada Real Sociedad yang menggilap bakatnya ketika berusia 14 tahun. Dia membantu Atletico muncul juara Liga Europa pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 8:06 AM