TSC ih kedudukan ketiga pada peringkat pertama Tour of Qinghai Lake di China. FOTO/FB TSC
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


GANDINGAN pelumba tempatan dan import melonjakkan Team Sapura Cycling (TSC) meraih kedudukan ketiga pada peringkat pertama Tour of Qinghai Lake di China.

TSC menyenaraikan dua pelumba tempatan, Muhamad Zawawi Azman dan Akmal Hakim Zakaria untuk bergandingan bersama Cristian Raileanu, Jesse Ewart, Mario Vogt, Marcus Culey dan Benjamin Dyball bagi menyertai perlumbaan berstatus 2.HC (hors class) itu.

Tujuh pelumba berkenaan cemerlang apabila menamatkan peringkat pertama yang mempertandingkan ujian masa berpasukan dari Hehuang New District ke Xining sejauh 40 kilometer dengan meraih kedudukan ketiga terbaik hari ini.

Mereka mencatatkan masa 51 minit 50 saat dengan pasukan dari Colombia, Medellin lebih pantas mencatatkan 49:37s manakala Ningxia Sports Lottery dari China kedua dengan 51.05s.

"Ini adalah penampilan pertama TSC pada jelajah yang memasuki edisi ke-18. Ia sangat berbeza dengan jelajah yang lain kerana mempunyai ketinggian minimum 2300 meter dan maksimum 4,200 meter dari aras laut.

"Kami membuat persiapan selama tiga bulan untuk membolehkan pelumba bersaing di perlumbaan ini. Kami meletakkan sasaran untuk muncul tiga pasukan terbaik dan tiga kedudukan teratas jersi individu keseluruhan," jelas Pengurus TSC, Mohd Sayuti Zahit.

Saingan menyaksikan 21 pasukan bertanding dengan enam pasukan profesional benua selain 16 pasukan benua.

Perlumbaan yang memasuki edisi ke-18 akan memberikan cabaran yang hebat apabila mempertandingkan 13 peringkat secara keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 8:55 PM