HARAPAN Zhi Quan bersama Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad (kiri) dan Muhammad Aznil Bidin (kanan) raih perak atau gangsa sempena Sukan SEA Filipina November ini.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


JURULATIH angkat berat negara Wang Zhi Quan mengakui sukar buat barisan atlet negara menyumbangkan emas di temasya Sukan SEA Filipina November ini.

Ia berikutan terdapatnya jaguh-jaguh dari Asia Tenggara yang pernah meraih pingat di Olimpik dan juga di Kejohanan Dunia. Namun begitu tiada masalah buat dua atlet yang menjadi taruhan negara iaitu Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dan Muhammad Aznil Bidin meraih perak atau gangsa.

Zhi Quan bagaimanapun berkata, kesemua atlet perlu bekerja keras selain menukar beberapa teknik angkatan ketika latihan.

"Bagi saya Azroy dan Aznil tidak mempunyai masalah untuk meraih pingat tapi untuk emas memang susah.

"Dalam kategori Aznil 62 kg, terdapat atlet yang meraih pingat di Olimpik. Jadi sukar sedikit untuk dia bersaing merebut emas," katanya.

Selain dua pemenang pingat emas temasya Komanwel di Gold Coast itu, Zhi Quan turut melatih tiga lagi atlet, Muhammad Erry Hidayat Muhammad Hidayat, Nurul Atikah Mahamad Sabri dan Mohd Yusof Nandong.

Bagaimanapun Zhi Quan enggan meletakkan harapan tinggi buat ketiga-tiga atlet itu berikutan baru diamanahkan kepadanya untuk melatih mereka.

Sementara itu mengulas mengenai perancangan seterusnya buat atlet negara, Zhi Quan yang pernah mendidik Hafifi Mansor hingga layak ke Olimpik Rio berkata, atlet negara dijangka akan menyertai Kejohanan Angkat Berat Dunia di Pattaya, Thailand, dari 16 hingga 25 September depan.

Ia sebagai persediaan terbaik buat atlet negara ke Sukan SEA menilai prestasi terkini pesaing dari Asia Tenggara untuk kategori masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 7:31 PM
Skip this ad x