PEMAIN Negeri Sembilan, Dzulfahmi Abdul Hadi (kanan) mengasak pemain JDT II, Awang Muhammad Faiz di Stadium Tuanku Abdul Rahman semalam. - FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my

"BUKAN sekadar puas hati tetapi pemain layak dapat pujian kerana mereka memberikan komitmen lebih 100 peratus," kata ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mat Zan Mat Aris susulan kemenangan bergaya menewaskan Johor Darul Ta`zim II (JDT II) 3-1, dalam saingan Liga Perdana, semalam.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, faktor lain turut menyumbang kemenangan itu adalah kesungguhan pemain skuad Hobin Jang Hobin dalam menterjemahkan perancangan yang dibuat.

Katanya, biarpun menerima tentangan sengit sepanjang tempoh permainan, pemain Negeri Sembilan tidak patah semangat dan terus berusaha melakukan tekanan ke atas JDT II.


PENJAGA gol Negeri Sembilan, Kaharuddin Abdul Rahman gagal menepis sepakan penalti Rozaimi. - FOTO Bernama

"Sememangnya kami turun malam ini (semalam) untuk menang dan ia berjaya direalisasikan pemain. Walaupun pemain tersentak seketika susulan jaringan penyamaan lawan tapi pemain tidak patah semangat sebaliknya terus berusaha melakukan serangan terutama pada separuh masa kedua.

"Hasilnya kami berjaya memperoleh gol kedua menerusi tendangan cantik jarak jauh oleh Matheus Fernandes sebelum jaringan Igor (Luiz) yang melengkapkan kemenangan malam ini (semalam). Saya amat gembira kerana tiga mata dicari berjaya dicapai," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Hasil kemenangan itu, Negeri Sembilan kini melonjak ke tangga keempat carta dengan kutipan 28 mata namun JDT II masih kekal di tangga kedua dengan 33 mata.

Mat Zan berharap anak buahnya dapat mengekalkan prestasi terbaik pada dua baki perlawanan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman sendiri Sabtu ini dan aksi terakhir menentang UiTM, di tempat lawan pada 20 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 6:45 PM