GUERRA (dua dari kiri) berebut bola dengan pemain Pahang di Stadium Darul Makmur. - FOTO Zulkepli Osman
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my

PAHANG meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan PKNS FC 3-2 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Gol ketiga dijaringkan kapten pasukan, Matthew Davies seminit sebelum tamat perlawanan membantu skuad Tok Gajah mengutip tiga mata sekali gus kekal di kedudukan kedua Liga Super.

Namun skuad kendalian Datuk K Rajagobal terlebih dahulu menguji gawang tuan rumah hasil rembatan Tommy Mawat Bada tetapi berjaya ditepis keluar penjaga gol Pahang, Remezey Che Ros pada minit ke-10.

Selepas itu, skuad Tok Gajah mula mengatur serangan dan pertahanan import, Herold Goulon membuka tirai jaringan menerusi tandukan pada minit ke-30.

Tiga minit sebelum berakhir separuh masa pertama, Muslim Ahmad yang juga pemain pertahanan menjaringkan gol kedua buat skuad Tok Gajah.

Bersambung babak kedua, PKNS yang jarang memberi ancaman ke kubu tuan rumah merapatkan jurang menerusi sentuhan penyerang import, Kpah Sherman pada minit ke-60.

Lima minit kemudian, pemain gantian, Gabriel Guerra merapatkan kedudukan 2-2 yang menyaksikan Remezey tewas buat kali kedua.

Ketika lawan menjangkakan mampu mencuri satu mata, Davies memastikan tuan rumah mengutip tiga mata untuk meneruskan kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 11:36 PM