AKSI tangkas pemain Melaka, Mohd Raimi Md Nor (kiri) yang menyekat kemaraan Lopes di Stadium Hang Jebat. - FOTO Rasul Azli Samad
Nazri Abu Bakar
sukanteam.nstp.com.my

MELAKA United (MU) melonjak ke tangga ketiga Liga Super selepas menang tipis ke atas PKNP 2-1 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, sebentar tadi.

Beraksi di hadapan kira- kira 2,000 penyokong, tuan rumah hampir mencipta jaringan pembukaan pada minit ke-8 namun sepakan percuma Nazrin Nawi berjaya diselamatkan penjaga gol, Khairul Thaqif Shah.

Namun pelawat terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi tandukan Giancarlo Lopes pada minit ke-13 berpunca hantaran silang Ramon Da Silva yang tepat kepada Lopes yang mudah menanduk masuk menewaskan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat (Apek).

Ketika anak buah jurulatih Zainal Abidin Hassan bingkas mengatur gerak untuk mencari gol penyamaan, kapten PKNP, Mohamad Hafiz Ramdan hampir menambah gol kedua pelawat menerusi rembatan namun tangkas diselamatkan Apek.

Bagaimanapun, buruan gol penyamaan Melaka United hadir pada minit ke-41 menerusi rembatan Davy Angan selepas menerima hantaran pertahanan kanan Mohd Amirul Afiq.

Bersambung babak kedua bahagian tengah skuad Hang Tuah lebih tersusun selepas Safiq Rahim yang masuk penghujung episod pertama merencana pergerakan menarik untuk merobek kubu pelawat.

Hasilnya jaringan kedua tuan rumah diperolehi menerusi tolakan mudah Patrick Raichelt yang menyambut hantaran lintang Angan pada minit ke-59.

Malah dua percubaan menerusi Safiq (m-62) dan Shukor Adan m-68 dinafikan Khairul Thaqif bagi mengelak gawangnya terus dibocori.

Kemenangan terbabit meletakkan skuad Hang Tuah melonjak ketangga ketiga buat pertama kali berikutan pesaingnya Kedah seri 2- 2 berdepan Terengganu dan Selangor hanya beraksi esok berdepan Perak di Ipoh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 11:15 PM