ALI (kiri) dan Ain memenangi emas kategori 54kg dan 57kg acara muaythai Sukan SEA KL2017.
Nor Hairulnizam Wahid
hairulnizam@mediaprima.com.my

KEJOHANAN Muaythai Dunia yang bakal berlangsung di Bangkok bermula 19 hingga 29 Julai bakal menjadi penentu calon atlet yang bakal mewakili negara ke Sukan SEA Filipina, akhir November ini.

Menurut presidennya Datuk Muhammad Shahnaz Azmi, perkara itu diputuskan selepas mesyuarat penilaian prestasi atlet sukan berkenaan kelmarin.

“Setakat ini belum ada atlet disenarai pendek ke Sukan SEA tetapi Kejohanan Muaythai Dunia di Thailand akan menjadi penentu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kejohanan di Thailand bakal menjadi penanda aras sejauh mana keberkesanan latihan di negara jiran sejak awal tahun ini membawa hasil apatah lagi mereka bukan saja menyasarkan Sukan SEA namun beberapa kejohanan antarabangsa dan bertaraf dunia.

Seramai 16 atlet sedia ada bakal merebut tempat ke Sukan SEA dengan lima tempat menjadi rebutan membabitkan empat atlet lelaki dan satu wanita.

Skuad muay thai negara menyasarkan satu emas pada penyertaan kali ini berbanding dua emas yang diraih pada edisi 2013 dan dua emas ketika menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017. Pada edisi lalu Mohd Ali Yaakub dan Ain Kamaruddin meraih emas, masing-masing dalam kategori 54 dan 57 kilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 10:49 PM