Misbun anggap pemain muda masih memerlukannya. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com


SELARI dengan statusnya sebagai legenda, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek tidak kisah diberikan tugasan hanya melatih pemain muda seperti Leong Jun Hao, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Tan Jia Wei dan Ng Tze Yong.

Menurutnya, ia bukan satu masalah besar buatnya tidak membimbing pemain senior tatkala tugasan berkenaan diberikan kepada Hendrawan.

"Sebelum ini juga saya ada berfikir untuk meneruskan tugasan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau tidak.

Bagaimanapun, selepas melihat pemain muda masih memerlukan saya, sebab itu saya terima balik (kontrak baru selama setahun)," katanya itemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini.

Ujarnya, sepanjang dua tahun dia menggunakan pendekatan dengan membina disiplin dan kemahiran teknikal pemain sehingga ada yang melonjak ke ranking lebih baik.

"Ia langsung tiada masalah buat saya untuk menjaga siapa, yang penting ada tempat. Apa yang penting kerjasama di antara jurulatih.

"Buat masa sekarang saya akan memberi tumpuan kepada tugasan ini, kerja untuk melihat bakat baru dilakukan berpandukan kepada kejohanan dan keputusan.

Jika ada mereka yang berbakat saya akan mengesyorkan untuk dimasukkan ke dalam BAM," katanya.

Selepas Mesyuarat Ahli Majlis Sabtu lalu, empat pemain senior, Lee Zii Jia, Cheam June We, Soong Joo Ven dan Lim King Hong diputuskan berada di bawah pemantauan Hendrawan.

Ditanya mengenai prestasi anak saudaranya, Fazriq Razif, Misbun mengakui pemain berusia 15 tahun itu sangat berbakat terutama selepas merangkul kejuaraan perseorangan dan beregu lelaki, Grand Prix Final Sirkit Remaja Kebangsaan 100PLUS di Seremban.

"Dia berjaya bermain dua acara dengan baik sekali sama seperti saya dulu ketika juara peringkat negeri dan kebangsaan.

Bermain dua acara memang akan memperoleh teknik yang sangat berkesan.

"Seseorang pemain mempunyai dua elemen dalam perserorangan dan beregu. Bagaimanapun, selepas meningkat dewasa nanti dia hanya perlu memilih satu acara kerana ia bergantung kepada kudrat yang bakal digunakannya nanti.

"Saya lihat dia mempunyai kewibawaan pada masa akan datang. Terutama dari segi pergerakan, mentaliti, kawalan bulu tangkis dan taktikal.

Buat masa sekarang elok dia beraksi dalam dua acara untuk membina ketangkasan, bagaimana ketika bertahan di depan dan belakang, melakukan umpanan.

Dia memang mempunyai bakat cukup baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 5:22 PM