LAKARAN artis Griezmann (kanan) bersama Lionel Messi menyarung jersi Barcelona. — FOTO Twitter grizzou
AFP

PENYERANG Atletico Madrid dan Perancis, Antoine Griezmann kekal dengan pendiriannya apabila berdegil dan tidak hadir pada perjumpaan pramusim kelab itu awal pagi tadi, menurut seorang jurucakap kelab.

“Griezmann diarahkan secara rasmi untuk berada di kelab pada jam 8.30 malam Ahad (awal pagi tadi) dan apabila dia tidak tampil, kami membuka fail dan akan mengkaji kes ini,” kata jurucakap itu.

Griezmann, yang menjadi sasaran kelab gergasi dan juara Sepanyol, Barcelona, sudah menyatakan dia tidak akan hadir, lapor akhbar Madrid, Marca kelmarin dengan Atletico menyatakan kemudian “ia tidak mengubah apa-apa.”

“Dia mempunyai kontrak bersama kelab kami hingga 2023 dan mesti meneruskan latihan esok seperti pemain lain,” menurut kelab itu.


FELIX (kanan) melayan peminat ketika hadir ke latihan pramusim Atletico. — FOTO Twitter Atletico Madrid Official

Awal pagi tadi, kelab itu mengepos gambar dalam Twitter pemain tiba di Los Angeles de San Rafael yang mana Atletico secara tradisi mengadakan latihan pramusim mereka termasuk pemain baharu dibeli Joao Felix, penyerang muda Portugal.

Griezmann mengumumkan Mei lalu dia akan meninggalkan Atletico namun tidak dapat mendedahkan destinasi pilihannya hingga klausa tebus kontraknya merudum daripada 200 juta euro (RM930 juta) kepada 120 juta euro (RM558 juta) pada 1 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 2:16 PM