Reuters

PENYERANG Brazil, Gabriel Jesus mencipta satu gol, menjaringkan satu lagi dan dibuang padang pada babak kedua ketika mereka menewaskan Peru 3-1 untuk memenangi Copa America buat kali kesembilan awal pagi tadi di Rio de Janeiro.

Tuan rumah mendahului selepas 15 minit susulan skil mengagumkan Jesus dari bahagian sayap. Penyerang Manchester City itu melepasi dua pertahanan dan melakukan hantaran lintang yang disudahkan Everton dari jarak dekat.

Peru tidak menang kejohanan itu sejak 1975 dan mereka bangkit dengan gol penyamaan seminit sebelum rehat apabila Paolo Guerrero meledak menerusi sepakan penalti selepas Thiago Silva dipersalahkan kerana memegang bola.

Gol itu yang pertama dilepaskan Brazil dalam enam perlawanan sejak Copa America bermula namun ia tidak menjejaskan keyakinan mereka yang kembali mendahului tidak lama kemudian selepas satu gerakan menarik dari tengah.


JESUS (empat kanan) meledak gol kedua Brazil pada babak pertama di Maracana. — FOTO EPA

Roberto Firmino memperagakan skil menarik di garisan kanan gol dan dia mengumpan kepada Arthur sebelum melorongkan kepada Jesus, yang tenang merembat masuk melepasi penjaga gol Pedro Gallese.

Peru mengasak pada babak kedua dan diberi talian hayat 20 minit sebelum tamat apabila Jesus dibuang padang.

Dia dikasari Carlos Zambrano beberapa minit terdahulu dan apabila Jesus bertindak balas dia dilayangkan kad kuning kedua selepas dikenakan kad pada babak pertama kerana bentesan keras.

Namun Brazil, yang bermain di depan 70,000 penonton di Stadium Maracana, memastikan kejuaraan milik mereka apabila pemain gantian Richarlison menjadikan kedudukan 3-1 menerusi penalti pada minit terakhir.

Ia kejuaraan utama sulung Brazil sejak mereka menjuarai Copa America 2007 dan pertama buat jurulatih Tite, yang mengambil alih pasukan kebangsaan tiga tahun lalu.


KAPTEN Brazil, Dani Alves menjulang trofi selepas memenangi Copa America di Rio de Janeiro, awal pagi tadi. — FOTO Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 7:43 AM