AKSI pemain import Batu Dua FC (kanan) pada perlawanan, semalam.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


TIGA bulan sudah berlalu namun pemain Batu 2 FC masih lagi ‘makan janji’ sedangkan gaji yang dijanjikan, masih belum nampak bayang.

Menyedari mereka seakan dipermainkan, tiga pemain pasukan itu sudah tidak lagi mahu bermain dan baki 15 yang lain hanya menunggu masa untuk mengikut jejak sama.

Batu 2 FC masih mempunyai baki lebih 10 perlawanan Liga M3 musim ini dan andai masalah sama tidak diselesaikan, maka selepas ini pasukan berkenaan bakal tinggal nama saja apatah lagi pengurusan seakan tidak ambil berat dengan nasib pemain.

Seorang pemain yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Zahid’ berkata, dia sudah muak dan bosan mendengar pelbagai janji yang ditabur pengurusan dan mengambil keputusan untuk tidak lagi bermain bermula dengan perlawanan menentang Kuching FA di Kemaman, Terengganu, semalam.

Zahid dan seorang lagi pemain, Zarul bersama seorang lagi rakan mereka yang enggan dikenali, memilih untuk ‘angkat kaki’ dan tidak menyertai 18 pemain Batu 2 FC untuk ke Kemaman.

“Saya tanya pengurus sama ada kami akan mendapat gaji selepas aksi di Kemaman dan beliau kata: ‘susah nak kata’. Justeru, saya dan dua lagi rakan, memilih untuk tidak bermain,” kata Zahid.

“Setiap minggu pengurusan pasukan janji nak bayar sehingga ada antara pemain nak makan atau turun padang pun tiada duit sehingga terpaksa meminjam.

“Mereka janji nak bayar sebelum bermulanya perlawanan namun selepas itu diam saja dan kali terakhir pengurusan memberi pemain RM500 minggu lalu namun ia habis dijadikan perbelanjaan untuk aksi di Kelantan.

“Sampai bila kami boleh bertahan dengan keadaan ini dan kemungkinan ramai lagi yang akan boikot perlawanan akan datang kerana sudah ‘pokai’,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Zarul pula berkata, mereka kini sudah boleh dianggap sebagai bermain secara percuma buat Batu 2 FC kerana pengurusan langsung tidak menunjukkan tanda untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain.

“Jika tiada jalan penyelesaian, kemungkinan kami akan mengupah peguam untuk tindakan lanjut selain mengadu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),” katanya.

Akhbar ini pernah menyiarkan rintihan tonggak import Batu 2 FC, Ljuba Baranin yang meluahkan rasa kecewanya terhadap pemilik Tulangis Group, Datuk Mohd Hazarul Ifdaz Mohamed Rahim yang juga penaja utama Batu 2 FC musim ini.

Menerusi laman Facebook miliknya, Baranin mendakwa menerima layanan buruk daripada Hazarul atau turut dikenali dengan panggilan ‘Tuan Muda’ selepas diberi gaji dengan cek palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 6:15 AM