Megan (tengah) meraikan jaringan pertama Amerika Syarikat. FOTO REUTERS
AFP

JARINGAN sepakan penalti menerusi Megan Rapinoe serta ledakan Rose Lavelle pada babak kedua memastikan Amerika Syarikat mengatasi Belanda 2-0 pada final Piala Dunia Wanita di Lyon, Perancis, malam tadi.

Selepas terikat tanpa jaringan pada separuh masa, Amerika Syarikat mendahului juara Eropah itu selepas setengah jam perlawanan apabila Megan menyudahkan sepakan penalti berikutan rakaman ulang tayang VAR.

Rose menjadikan kedudukan 2-0 pada m-69, membolehkan Amerika Syarikat menjulang Piala Dunia untuk kali keempat selepas lapan edisi sekaligus menghalang impian Belanda meraih gelaran berganda.


Skuad wanita Amerika Syarikat melonjak kegembiraan bergelar juara dunia di Lyon. FOTO REUTERS

Amerika Syarikat turut bergelar juara dunia pada 1991, 1999 dan 2015.

Belanda memberi tentangan sengit sepanjang 90 minit perlawanan itu dengan penjaga gol, Sari van Veenendaal berjaya menghalang gawang selama sejam dan beberapa kali menyelamatkan keadaan dalam saingan disaksikan seramai 57,900 penyokong di Stadium Groupama.

Sari bagaimanapun gagal menghalang sepakan penalti Megan yang juga pemain sayap mendapatkan gol pembukaan.

Megan turut berkongsi selaku penjaring terbanyak kejohanan bersama Alex Morgan dan pemain England, Ellen White dengan masing-masing enam gol.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 1:19 AM