SOFIA (kiri) meraikan gol kedua Sweden menentang England di Allianz Riviera, Nice. — FOTO Reuters
AFP

SWEDEN menamatkan kempen Piala Dunia Wanita penuh bergaya selepas menewaskan England 2-1 pada penentuan tempat ketiga di Nice awal pagi tadi ketika jaringan Sofia Jakobsson pada babak pertama terbukti memastikan kemenangan.

England mengintai peluang meraih pingat gangsa Piala Dunia kedua berturut-turut namun sebaliknya anak buah Peter Gerhardsson berakhir di tangga ketiga buat kali ketiga.

Kosovare Asllani membantu Sweden mendahului selepas 11 minit sebelum Sofia melencongkan satu gol menarik pada minit ke-22 dan sekalipun Fran Kirby pantas membalas satu gol (m-31), England gagal mencari gol penyamaan.

“Saya fikir mungkin mereka terlalu terbawa-bawa dengan aksi separuh akhir, emosi,” kata pengurus England, Phil Neville.


FRAN (tiga kiri) membalas satu gol buat England pada aksi penentuan tempat ketiga. — FOTO Reuters

“Dua gol itu mungkin menyedarkan kami daripada lamunan. Selepas itu, saya fikir itulah yang terbaik kami persembahkan.”

Ia kekalahan kedua dalam tempoh kurang seminggu buat Lionesses, selepas mengalami kekalahan ketiga berturut-turut pada separuh akhir kejohanan utama apabila mereka tewas 1-2 di tangan juara bertahan Amerika Syarikat, Selasa lalu.

AS akan berdepan Belanda pada final di Lyon, malam ini.

“Kami hadir pada kejohanan ini untuk memenanginya, bukan berakhir di tangga ketiga atau keempat,” jelas Neville, bekas pemain Manchester United.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 10:19 AM