MESSI (tengah) dan Medel (dua kanan) dilayangkan kad merah oleh pengadil di Arena Corinthians, Sao Paulo, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

LIONEL Messi dibuang padang ketika Argentina memastikan kedudukan ketiga Copa America selepas menang 2-1 ke atas Chile, awal pagi tadi.

Pada perlawanan penuh tegang dan sengit itu, pemenang Ballon d’Or lima kali Messi dan kapten Chile, Gary Medel dilayangkan kad merah lapan minit sebelum rehat selepas bergaduh di kawasan garisan gol.

Sergio Aguero (minit ke-12) dan Paulo Dybala (m-22) menjaringkan gol pada babak pertama yang menjamin kemenangan Argentina.

Chile diberi talian hayat apabila Giovani Lo Celso menjatuhkan Charles Aranguiz di penjuru kotak penalti dengan Arturo Vidal merembat masuk sepakan penalti pada minit ke-59.


DYBALA (kanan) meledak gol kedua Argentina melepasi penjaga gol Chile, Gabriel Arias. — FOTO EPA

Namun perlawanan itu lebih diingati kerana kad merah berganda dan pergaduhan yang meletus selepas itu.

Dalam apa yang dilihat pertembungan yang tidak berbahaya, Messi yang kecewa menolak belakang Medel ketika pertahanan tengah itu mengeluarkan bola.

Medel yang berang membalas dengan mendada Messi tiga kali dalam insiden yang mungkin sepatutnya sekadar kad kuning buat pemain Chile itu.

Sebaliknya, pengadil dari Paraguay, Mario Diaz de Vivar melayangkan kad merah kepada kedua-dua kapten.

Medel kelihatan terlalu marah ketika pemain kedua-dua pasukan bertembung antara satu sama lain dan mengerumuni pengadil, yang gagal mengawal situasi itu.

Lebih kurang lima minit diperlukan sebelum semuanya dileraikan dan Messi serta Medel meninggalkan padang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 8:23 AM