Pemain Perak, Ronaldo Henrique Silva (kanan) cuba menghalang sepakan pemain JDT, Mauricio Dos Santos Nascimento dalam aksi Liga Super. FOTOMuhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


PERAK gagal meleburkan rekod tanpa kalah pasukan yang sudah dinobatkan sebagai juara Liga Super musim ini, Johor Darul Takzim (JDT) apabila tumpas 0-3 kepada pasukan pelawat itu.

Tuan rumah ternyata berusaha mencipta peluang bagi mencari jaringan awal namun pertahanan JDT kental menyerap asakan.

Anak buah Benjamin Mora juga bukan hanya bertahan namun melakukan serangan berbahaya yang akhirnya disempurnakan Leandro Velazquez dengan jaringan pertama pada minit ke-37.

Babak pertama tamat dengan pasukan bimbingan jurulatih Mehmed Durakovic gagal mencari gol penyamaan.

Separuh masa kedua dengan perlawanan baru tiga minit berlangsung gawang Perak sekali lagi bolos melalui jaringan cantik Leandro Velazquez yang merembat kencang dari luar kotak penalti.

Perak tidak berputus asa dan berusaha mencari jaringan dengan beberapa serangan namun tidak berhasil, namun sebaliknya JDT berjaya menambah jaringan melalui Akhyar Rashid pada minit ke-90.

Tamat perlawanan keputusan kekal dengan Perak tewas kepada pelawat di laman sendiri.

Kemenangan JDT di Stadium Perak, Ipoh malam ini menjadikan skuad Harimau Selatan mencatat rekod 15 kemenangan dan empat seri membabitkan 19 perlawanan Liga Super musim ini.

JDT kini mengumpul keseluruhan 49 mata di takhta liga manakala Perak pula menghuni tangga keenam dengan 27 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 10:59 PM