GRIEZMANN bersama anak perempuannya Mia pada hari terakhir liga di Wanda Metropolitano, Mei lalu. — FOTO Agensi
Reuters

ATLETICO Madrid mengarahkan Antoine Griezmann supaya melaporkan diri bagi latihan pramusim walaupun dia mengesahkan dua bulan lalu dia meninggalkan kelab itu, ketika mereka menuduh penyerang Perancis itu tidak menghormati kerana berunding untuk berpindah ke Barcelona.

Atletico menyiarkan kenyataan tegas dalam laman web mereka semalam selepas presiden Barca, Josep Maria Bartomeu mendedahkan CEO kelab itu bertemu dengan ketua eksekutif Atletico, Miguel Angel Gil Marin mengenai Griezmann.

Atletico mendakwa Griezmann dan Barcelona sudah memulakan rundingan berpindah ke Nou Camp Februari lalu dan persetujuan dicapai pada Mac, ketika mereka beraksi pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Juventus yang mana mereka tewas 2-3 secara agregat.

“Atletico Madrid ingin menyatakan rasa tidak puas hati terhadap sikap kedua-dua pihak terutama Barcelona kerana mempengaruhi pemain untuk tidak setia terhadap Atletico Madrid...” menurut kenyataan itu.

Atletico juga mendakwa Barca melanggar tempoh perjanjian perlindungan pemain, mengubah asas integriti dalam pentadbiran kesukanan dan pertandingan hingga menyebabkan “kerosakan teruk kepada kelab dan jutaan penyokong.”

Kenyataan itu juga menyebut Atletico menolak permintaan Barca untuk mengadakan rundingan semula mengenai yuran perpindahan Griezmann berbanding bayaran tebus kontrak sebanyak 120 juta euro (RM557 juta).

“Maklum balas Atletico Madrid adalah negatif kerana kami percaya Barcelona dan pemain itu tidak menghormati pendirian Atletico Madrid dan penyokongnya,” menurut kelab itu.

“Susulan tindakan itu, hari ini Atletico Madrid mengarahkan pemain itu, adiknya bersama ejen dan peguamnya supaya Antoine Griezmann mematuhi perjanjian termaktub dalam kontraknya bersama kelab ini dan mesti tampil Ahad ini di pusat latihan kelab untuk memulakan latihan pramusim bersama pemain lain.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 1:06 PM