NASRI (kanan) mengikat kontrak setahun di Anderlecht. — FOTO Twitter Anderlecht
Reuters

BEKAS pemain kebangsaan Perancis, Samir Nasri menyertai bekas rakan sepasukannya di Manchester City, Vincent Kompany di Anderlecht apabila mengikat kontrak setahun dengan kelab Belgium itu semalam.

Perpindahan pemain berusia 32 tahun itu secara percuma selepas kontrak terakhirnya di West Ham tamat, yang mana dia hanya beraksi beberapa kali musim lalu.

“Vincent Kompany adalah rakan sepasukan saya di City antara 2011 dan 2017. Saya amat mengenalinya dan mengetahui apa projek yang dirangkanya di Anderlecht,” kata Nasri kepada laman web kelab.

“Bersamanya dan seluruh pasukan, saya akan melakukan apa saja untuk membantu kami mencapai impian itu.”


NOTIS di laman Twitter mengenai kehadiran Nasri. — FOTO Twitter Anderlecht

Kompany meninggalkan City hujung musim lalu untuk mengambil alih sebagai pemain-pengurus di Anderlecht.

Nasri, yang beraksi 41 kali dengan Perancis, beraksi seketika di Sevilla, Antalyaspor dan West Ham. Dia melakukan penampilan sulung pada usia 17 tahun di Olympique Marseille sebelum berpindah ke Arsenal pada 2008.

“Di Anderlecht, kami percaya dengan bakat remaja, pemain yang perlu diberi peluang untuk berkembang, tapi mereka boleh berjaya jika dikelilingi dengan bimbingan dalam dan luar padang.

“Nasri seorang bintang sejati yang boleh membimbing pemain muda mencari pengalaman dan membantu mereka meningkat ke tahap berikutnya,” kata pengerusi Anderlecht, Marc Coucke.

Perjanjian Nasri termasuk pilihan untuk sambungan setahun lagi, menurut Anderlecht.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 11:51 AM