KETUA Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam. FOTO Zain Ahmed
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) memberi jaminan pendapatan kelab kecil tidak akan ketinggalan jauh selepas pengendali Liga Malaysia (Liga M) itu memperkenalkan struktur baharu hak penyiaran berkuat kuasa musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata, kelab kecil yang tidak memiliki kelompok penyokong besar seperti pasukan gergasi tanah air tetap menerima bayaran hak penyiaran sama.

“Misalnya satu kelab besar itu mungkin mendapat sebahagian daripada sumbangan penyokong mereka yang menyumbang terus kepada kelab manakala sebahagian lagi sumbangan akan dikongsikan kepada semua pasukan (yang bertanding di Liga M).

“Jadi jika kelab besar lebih berjaya, kelab kecil juga akan mendapat imbuhannya. Itu adalah kebaikan program ‘centralize marketing’ (pemasaran berpusat) yang MFL lakukan. Mengambil contoh, La Liga sendiri pun pada waktu lalu setiap pasukan menjual hak masing-masing tetapi mereka mendapati bahawa pelan itu tidak stabil dan mereka membuat satu program pemasaran berpusat di mana La Liga sendiri menjual hak siaran dan bukan setiap pasukan.

“Ini adalah untuk kestabilan dan lebih jauh baik kepada pasukan kecil. Program yang MFL lakukan ini akan membantu pasukan kecil. Walaupun pasukan besar mungkin boleh menjana pendapatan lebih, pasukan kecil juga tidak akan ketinggalan jauh,” katanya.

Kelmarin, MFL mengumumkan kemasukan rakan kongsi baharu, Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC) dalam penstrukturan hak penyiaran Liga M bermula musim 2020.

Bagaimanapun, timbul keresahan peminat mengenai kestabilan kelab kecil yang tidak memiliki kelompok penyokong besar daripada sumber pendapatan selepas penstrukturan hak penyiaran baharu itu diperkenalkan.

Dalam perkembangan sama, Kevin berharap pendekatan baharu ini bukan saja memberikan manfaat kepada bola sepak tempatan, malah memberi impak kepada sukan lain menerusi platform penstrukturan baharu hak penyiaran.

“MFL akan cuba sedaya upaya menjadi peneraju dalam industri sukan tempatan kita. MFL turut berharap model yang digunakan ini untuk mengagihkan hak siaran terus kepada penyokong dan penonton akan menjadi satu dorongan yang bagus untuk kemajuan bola sepak dan sukan lain di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, kemasukan EVC dalam penstrukturan hak penyiaran Liga M disokong sepenuhnya boleh persatuan bola sepak negeri (FA) sekali gus membuktikan MFL tidak pernah berhenti berusaha mencari jalan terbaik membantu pasukan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon berkata, kemasukan penaja baharu itu bakal memberi peluang kepada pasukan atau kelab sendiri menambah kantung pasukan melalui sokongan penyokong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 6:30 AM