MEGAT (tiga dari kiri) memberikan kata semangat kepada Pesilat Negara ketika melakukan lawatan bersama di Pavillion, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


KETUA kontinjen negara (CDM) Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin kurang senang dengan persiapan beberapa venue yang menjadi sasaran emas Malaysia di Filipina nanti.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan serta terperinci sukan yang terbabit namun Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC) sudah berjanji akan menyelesaikannya.

“Terdapat beberapa venue yang sedikit merisaukan dengan ada yang menjadi sasaran (emas) kita. Ada juga venue yang hampir lengkap.

“Mereka berjanji akan selesaikan venue terbabit namun pada masa yang sama saya akan bangkitkan pada mesyuarat CDM pada minggu depan,” katanya.

Delegasi Malaysia yang diketuai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail kini berada di Filipina bagi meninjau secara dekat persiapan tuan rumah edisi ke-30 itu.

“Rombongan 13 pegawai negara berada di sana dan saya sudah mula mendapat laporan mengenainya,” katanya.

Sukan SEA Filipina dijadualkan berlangsung penghujung November dengan Malaysia akan menyertai 51 jenis sukan yang dipertandingkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 7:38 PM