KEVIN (kiri) pada sidang media pengumuman hak penyiaran MFL oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL di Hotel Thistle, Johor Bahru.
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my


KEGELISAHAN pasukan yang beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) mengenai kelewatan pembayaran hak penyiaran yang masih tertangguh pada musim ini akhirnya terjawab selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan melangsaikannya dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam mengesahkan pembayaran hak penyiaran kepada pasukan yang bersaing dalam kancah Liga M akan diagihkan pada pertengahan bulan ini dan bulan depan.

Katanya, MFL tidak pernah berdiam diri untuk berusaha bagi memastikan pasukan menikmati pembayaran hak penyiaran walaupun terpaksa berdepan pelbagai dugaan selepas penaja utama menarik diri.

“Sebagai permulaan kita akan membayar separuh daripada RM3 juta kepada pasukan yang bersaing di Liga Super dan separuh dari RM1 juta kepada pasukan yang bertanding di Liga Perdana,” katanya pada sidang media, di sini petang tadi.

Semuanya hasil usaha MFL dibawah pengerusi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mencetuskan idea bagi memastikan kemasukan rakan kongsi baharu, Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC) menerusi penstrukturan semula hak penyiaran.

Katanya, dengan penstrukturan semula hak penyiaran yang secara rasmi akan bermula pada musim depan, ia dilihat sebagai satu anjakan paradigma yang bukan sahaja satu pembaharuan dalam industri bola sepak malah menjadi perintis kepada industri penyiaran oleh pengendali liga.

“Hari ini menjadi satu sejarah baharu apabila MFL bersama rakan kongsi, EVC mencetuskan satu revolusi industri bola sepak tempatan ke peringkat lebih tinggi.

“Ia adalah cetusan idea Tunku Ismail yang mahu menyaksikan penyokong memainkan peranan penting untuk menjana pendapatan pasukan. Malah beliau menaruh kepercayaan tinggi kepada penyokong untuk sama-sama memajukan Liga Malaysia.

“Kini, MFL bukan sahaja bertindak sebagai pengendali Liga M sebaliknya juga memainkan peranan sebagai penyiar rasmi bola sepak tempatan bersama EVC dalam memastikan liputan meluas bola sepak terus kepada penyokong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 6:54 PM