Muthu akan teruskan program perancangan sebelum ini. FOTO fail NSTP
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


"TIADA sebarang perubahan dengan semua perancangan akan berjalan seperti dirancang sebelum ini," kata Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia yang baru, Datuk SM Muthu.

Muthu berkata, buat ketika ini tiada sebarang pertukaran berhubung dengan program membabitkan atlet yang berada di bawah program.

Namun beliau menegaskan akan mengadakan mesyuarat bersama jawatankuasa KOM untuk menentukan hala tuju KOM.

Ia bermakna program untuk membawa masuk jurulatih dari Amerika Syarikat, Dwayne I Miller dari Amerika Syarikat (AS) sebagai calon ketua jurulatih pecut negara akan diteruskan mengikut perancangan ketika KOM di bawah kendalian Datuk Karim Ibrahim.

Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin ketika dihubungi berkata, pelantikan Miller sudah dipersetujui dan kini mereka dalam fasa perbincangan bersama bahagian kejurulatihan.

Katanya, ada beberapa lagi peringkat perlu dilalui sebelum Miller di bawa masuk melatih atlet negara terutama dalam acara pecut.

"Insya-Allah atlet mungkin akan dapat berlatih bersama Miller sebelum Sukan SEA (Filipina).

"Mungkin dalam sedikit masa lagi dalam sebulan dua mereka akan dapat jurulatih baru tapi ia perlu melepasi fasa perbincangan berhubung syarat dan gaji," katanya.

Terdahulu, bekas presiden KOM, Karim memaklumkan pihaknya berminat mendapatkan khidmat Miller untuk program jangka panjang KOM dalam memastikan skuad olahraga negara menyerlah dalam acara pecut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 3:12 PM