HAFIZH Syahrin.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


“BELUM ada sebarang perbincangan lagi.”

Demikian tegas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah menafikan laporan bakal kembali ke Moto2 dengan tempatnya ketika ini bersama Red Bull KTM Tech 3 akan diambil alih oleh pelumba Afrika Selatan, Brad Binder.

Jelas Hafizh, apa yang sedang hangat diperkatakan ketika ini hanyalah khabar angin saja dan hanya dia lebih mengetahui situasi sebenarnya.

“Setakat ini saya pun tak ada sebarang perbincangan dengan Herve Poncharal (prinsipal pasukan).

“Berita ini tidak sahih dan semuanya masih 50-50.

“Saya hanya mahu fokus kepada perlumbaan seterusnya (GP Jerman) dan lihat apakah keputusan yang boleh saya berikan. Apapun saya masih kekal positif,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Laporan daripada portal speedweek.com kelmarin dipetik berkata Binder yang ketika ini beraksi bersama Red Bull KTM Ajo di saingan Moto2 akan menyertai Red Bull KTM Tech 3 pada tahun depan dengan Hafizh pula dikatakan akan kembali ke Moto2.

Ia selepas aksi kurang memberangsangkan Hafizh pada musim ini bersama Tech 3 yang menyaksikannya baru mengutip tiga mata.

Binder pula setakat ini cemerlang apabila menduduki tangga kelapan keseluruhan kategori Moto2 dengan mengumpul 64 mata.

Terbaru pada GP Assen Ahad lalu, Binder yang juga juara dunia Moto3 2016, meraih podium kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 8:18 PM