Sarri (kiri) mahu ubah Ronaldo menjadi mesin gol di Serie A. FOTO Ihsan Juventus FC
Agensi

CRISTIANO Ronaldo tidak benar-benar menyerlah pada musim pertamanya bersama gergasi Serie A, Juventus.

Jika diikutkan statusnya, menjaringkan 28 gol dalam semua pertandingan berikutan perpindahan bernilai £100 juta (RM522j) dari Real Madrid, dianggap berada dalam kategori sederhana.

Buat pengurus baru, Maurizio Sarri bersetuju dengan kenyataan itu.

Sarri, pengurus baru kelab legenda Itali itu yakin Ronaldo perlu meningkatkan tahap permainannya di Turin dan memberitahunya mengenai perkara itu.

Dalam pertemuan rahsia Ronaldo dan presiden Juventus, Gianni Agnelli di Greece, bekas pengurus Chelsea itu mendedahkan perancangannnya mengenai pasaran perpindahan pemain.

Dia juga mahu mengubah pemenang lima kali Ballon d'Or itu menjadi mesin penjaring digeruni dalam Serie A.

Ronaldo menjaringkan 44 gol dalam 44 penampilan pada musim terakhirnya di ibu kota Sepanyol bersama kelab gergasi Sepanyol itu.

Sarri menyatakan hasratnya untuk membentuk skuad baru Juventus dan mahu Ronaldo mendapat kembali sentuhan prolifik.

Secara taktikal, Sarri berhasrat meletakkan Ronaldo sebagai 'false nine' menerusi sistem digemarinya iaitu 4-3-3 dan menggunakan kepantasan Paulo Dybala dan Douglas Costa bergerak di bahagian sayap.

Secara ganjaran sistem itu, Sarri memberitahu Ronaldo dia menjangkakan bintang Portugal itu akan menjaringkan lebih 30 gol mengatasi rekod Gonzalo Higuain dalam Serie A.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 3:45 PM