SKUAD England memanaskan badan ketika sesi latihan di Limonest, Lyon. - FOTO AFP
AFP

BINTANG bola sepak England, Lucy Bronze percaya, sudah tiba masa The Lionesses mara ke final Piala Dunia Wanita walapun berdepan misi getir menentang juara bertahan Amerika Syarikat (AS) diketuai Megan Rapinoe, awal pagi esok.

AS dalam misi mempertahankan trofi dimenangi pada 2015, kejuaraan ketiga mereka dalam tujuh edisi sebelum ini.

England pula mara ke separuh akhir kali ketiga berturut-turut kejuaraan utama tetapi tersekat empat tahun lalu dan di Euro 2017.

Pencapaian itu yang memisahkan mereka dengan AS malah dengan dua lagi pasukan yang berentap di separuh akhir, Belanda juara Eropah dan Sweden yang mara ke final Olimpik 2016.

"Tiga pasukan ini mara ke final beberapa tahun kebelakangan ini jadi ini mungkin detiknya kami mengikuti jejak mereka,” kata Lucy yang kembali ke negara angkatnya Perancis selepas menyertai Lyon daripada Manchester City pada 2017.

Pemain pertahanan kanan itu menjulang trofi Liga Juara-Juara sejak menyertai kelab Perancis itu dan tidak sabar beraksi di stadium berkapasiti 59,000.

Pemenang awal pagi esok bakal menentang Sweden atau Belanda yang akan berentap pada awal pagi Khamis.

Belanda yang mara ke separuh akhir kali pertama sudah pasti mahu meneruskan momentum selepas muncul juara Euro di tempat sendiri tetapi pemain sayap Barcelona Lieke Martens tidak pasti beraksi selepas mengalami kecederaan.

Sweden pula mengejutkan Jerman pada aksi suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 1:22 PM