MESSI (kiri) dan Aguero ceria ketika sesi latihan Argentina di Belo Horizonte. - FOTO AFP
AFP

JURULATIH Brazil, Tite mengakui tidurnya terjejas menjelang aksi separuh akhir menentang Argentina esok.

Tite yang menggantikan jurulatih sebelum ini Dunga yang dipecat susulan prestasi buruk pada Copa America 2016 berkata, debaran beliau sama seperti dirasakannya pada peringkat awal mengambil alih jawatan itu.

"Saya tak lena tidur, saya bukan Superman. Saya dengan cara saya dan berharap dapat menanganinya,” katanya menjelang aksi di Stadium Belo Horizonte Mineirao, venue yang menyaksikan Brazil dimalukan Jerman 1-7 pada separuh akhir Piala Dunia 2014.

"Semalam saya bangun 3.15 pagi dan saya memikirkan apa perlu saya lakukan. Sebagai jurulatih, notepad selalu berada di sisi untuk saya catat sesuatu. Itu realiti seorang jurulatih. Bukan saya sahaja malah Scolari juga (jurulatih Argentina).”


PEMAIN Brazil, Arthur dan Richarlison menjalani latihan bersama rakan sepasukan. - FOTO Reuters

Perlawanan itu dianggap pertarungan kemahiran individu Argentina terutamanya Lionel Messi dan Sergio Aguera menentang Brazil yang mantap dalam aspek berpasukan.

Tetapi Tite berkata, keupayaan Argentina tidak bergantung kepada individu sahaja dan pastinya sukar menyekat kelincahan mereka.

"Anda tidak boleh mengekang Messi. Pada tahap yang dimilikinya, anda hanya boleh memperlahankannya.”

Tite sudah pastinya berharap penjaga gol, Alisson yang sudah biasa menghampakan Messi dalam beberapa kejohanan penting sebelum ini.

Sementara itu, Scaloni berkata Messi bersetuju mengetepikan kemahiran individunya demi kepentingan pasukan.

Messi gagal menyerlahkan kehebatan seperti dilakukan bersama Barcelona apabila hanya menjaringkan satu gol dalam empat perlawanan dan bergelut mencipta peluang buat rakan sepasukan.

Tetapi Scaloni tetap yakin pemain terbaik dunia lima kali itu mampu menghasilkan impak ketika menentang Brazil.

"Kami sudah biasa menyaksikan dia menjaringkan tiga gol dalam setiap perlawanan dan melepasi kawalan beberapa pemain. Tetapi kali kami mahu melakukan sesuatu yang berbeza dan kami lebih gembira dengan tugasnya itu,” kata Scaloni.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 9:52 AM