Iker Casillas. FOTO Agensi
AFP

PENJAGA gol Sepanyol, Iker Casillas melaporkan diri pada hari pertama latihan pra musim kelab Porto hari ini, dua bulan selepas mengalami serangan jantung namun enggan menjalani latihan bersama pasukan buat sementara waktu.

“Kembali bekerja. Hari pertama,” pemain berusia 38 tahun itu memuat naik menerusi Twitter beberapa gambar menunjukkan ketibaan, sambil tersenyum bersama rakan sepasukan di pusat latihan Porto Olival.

Bekas penjaga gol Real Madrid dan Sepanyol terpaksa melalui pembedahan kecemasan pada 1 Mei lalu selepas mengalami serangan jantung ketika menjalani latihan. Dia meninggalkan hospital lima hari kemudian, sambil mengakui masa depan karier profesional bola sepaknya belum pasti.

“Buat masa ini dia tidak boleh menjalani latihan,” kata ejen pemain itu Carlo Cutropia.

“Dia sudah pastinya mahu berada di sana pada hari pertama di Olival bersama-sama rakan sepasukan. Suatu hari nanti dia akan kembali semula, namun dia tidak boleh menjalani latihan lagi. Doktor berkata jika dia perlu tunggu satu, dua atau tiga bulan. Kami tidak tahu. Kita lihat bagaimana.”

Casillas beraksi 167 kali bersama Sepanyol, menang dua Euro dan satu Piala Dunia, malah lebih daripada 700 perlawanan buat Real di mana dia memenangi trofi Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali.

Dia menyertai Porto pada 2015 dan melanjutkan kontrak untuk setahun pada Mac lalu. Presiden kelab Jorge Pinto da Costa berkata dia mahu Casillas beraksi untuk Porto sehingga berusia 40 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 11:15 PM