Oltmans (kiri) pada sesi latihan bersama pemain skuad kebangsaan. FOTO NSTP/ASWADI ALIAS
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


KETUA jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans mengakui belum berpuas hati meskipun kedudukan ranking anak buahnya naik satu anak tangga di kedudukan ke-12 selepas kemaskini terbaru oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Jelas pengendali dari Belanda itu, andai Malaysia muncul juara pada Pusingan Akhir Siri FIH di Kuala Lumpur Mei lalu, beliau pasti ranking skuad negara sebelum ini berada di kedudukan ke-13 akan lebih baik.

"Apapun ia tetap perkembangan yang baik dan memberi lebih semangat kepada setiap pemain untuk terus memperbaiki kedudukan ranking.

"Sasaran kami adalah untuk berada di kedudukan kelapan dunia dan nampaknya ia tidak begitu jauh. Sasaran itu masih realistik.

"Selain mensasarkan layak ke Sukan Olimpik, memperbaiki kedudukan ranking juga antara sasaran utama kami," katanya pada sesi latihan skuad negara, hari ini.

Oltmans bagaimanapun yakin kedudukan ranking skuad negara akan bertambah baik selepas berakhir kesemua kejohanan benua terutamanya untuk merampas tempat Ireland di tangga ke-11.

Ini kerana pungutan mata skuad negara ketika muncul naib juara di Sukan Asia di Jakarta tahun lalu masih belum dikemaskini.

"Saya rasa kami akan memperoleh lebih banyak pungutan mata daripada kejohanan benua (Sukan Asia) berbanding Ireland.

"Kecuali jika Ireland melakukan kejutan pada kejohanan Eropah," katanya.

Skuad wanita negara juga cemerlang apabila naik dua anak tangga di kedudukan ke-20 dunia selepas kemaskini terbaru oleh FIH.

Ia adalah kedudukan ranking paling terbaik pernah diraih skuad wanita yang sebelum ini berada di kedudukan ke-22.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 6:25 PM