Hup Wei mahu bakat baru diketengahkan. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


ATLET olahraga senior negara, Lee Hup Wei tanpa berselindung menggesa akan kepimpinan baru Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) supaya mengambil berat aspek pembangunan peringkat akar umbi yang dirasakannya sangat lemah berbanding negara Asia Tenggara lain.

Hup Wei berharap kepimpinan baru yang diterajui Presiden, Datuk SM Muthu melakukan sesuatu terhadap aspek berkenaan jika tidak mahu kita terus ketinggalan di belakang Thailand, Indonesia dan Singapura.

"Atlet remaja memang kurang dan kita tidak ada pembangunan olahraga di peringkat berkenaan.

“Asyik mengharapkan atlet senior saja. Kita perlu turun untuk mencari bakat baru," katanya dihubungi Arena Metro, hari ini.

Hup, atlet lompat tinggi negara, mengakui bahawa Malaysia sekarang ini sangat ketinggalan dari segi pembangunan akar umbi berbanding tiga negara berkenaan.

"Singapura misalnya mereka banyak menganjurkan kejohanan di peringkat remaja, sedangkan kita tidak mencari bakat baru dan saya harap sesuatu perlu dilakukan segera.

"Kita tidak boleh dengan mengharapkan kepada atlet yang lahir dari sekolah sukan saja. Ia tidak mencukupi kerana berlandaskan kepada kuota. Olahraga adalah sukan yang besar," kata atlet kelahiran Selangor itu.

Menurut Hup Wei, jika kepimpinan baru KOM bersedia untuk melakukan perubahan dari segi pembangunan akar umbi, atlet senior termasuk dirinya sendiri sedia untuk memberi sokongan.

"Sekarang KOM perlu bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengesan lebih ramai lagi bakat muda dalam sukan olahraga," kata pemenang pingat emas Sukan SEA Jakarta-Palembang 2011 itu.

Muthu menjawat jawatan presiden badan induk berkenaan selepas menang pemilihan di Mesyuarat Agung Tahunan KOM kali Ke-16 kelmarin sekali gus menyingkirkan penyandang, Datuk Karim Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 6:07 PM