Hafizh (55) ketika beraksi di litar Assen. FOTO KTM
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


MESKIPUN hanya mengutip satu mata pada Grand Prix Belanda di litar Assen, semalam, ia memberi makna yang cukup besar kepada pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Pelumba Red Bull KTM Tech 3 itu yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15 berkata, data yang diperolehi daripada perlumbaan di Assen diharap dapat membantunya serta pasukan meraih keputusan lebih baik pada Grand Prix Jerman, minggu depan.

"Kini kami akan cuba memperbaiki segala kelemahan dan memahami karakter jentera dengan lebih baik.

"Saya berharap dapat meraih pencapaian lebih baik pada perlumbaan minggu depan.

“Saya percaya 'carbon swingarm' yang diperolehi oleh Miguel Oliveira (rakan sepasukan) pada perlumbaan kali ini banyak membantunya”.

"Saya harap dapat menggunakan alat yang sama untuk pusingan seterusnya," katanya.

Mengulas lanjut perlumbaan kelmarin, Hafizh mengakui mampu menamatkan perlumbaan di kedudukan lebih baik.

"Berbaki lapan pusingan terakhir, saya hilang cengkaman di belakang. Saya tidak pasti apa puncanya.

"Saya kecewa kerana yakin mampu merapatkan jurang dengan Pol Espargaro (KTM Factory Racing) dan mungkin mengatasi rakan sepasukan saya (Oliveira). Tapi inilah perlumbaan," katanya.

Selepas lapan pusingan, Hafizh kini mengumpul tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 5:36 PM