REAKSI Hamilton selepas tamat perlumbaan. - FOTO Reuters
Agensi

PENGURUS F1 Mercedes Toto Wolff berkata pasukannya perlu menyelesaikan masalah kepanasan enjin melampau yang menyebabkan mereka gagal memberikan tentangan sengit di GP Austria semalam.

Valtteri Bottas dan Lewis Hamilton menduduki tangga ketiga dan kelima selepas masalah itu memaksa jentera mereka dipandu perlahan ketika perlumbaan.

"Kami tahu masalah itu dan sebenarnya ia sudah bermula pada awal musim,” kata Wolff.

"Cukup mengecewakan dengan hanya mampu memerhatikan tanpa mampu mempertahankan atau menyerang.”

Kekalahan itu menamatkan rekod lapan kemenangan berturut-turut Mercedes sejak permulaan musim 2019 yang sekali gus membolehkan Hamilton menjarakkan 31 mata di carta pemandu.

Jentera Mercedes yang lambat sejuk terpaksa ‘mengerah’ enjin di bawah kuasa maksimum dan cabaran pelumba kendur sebelum menuju selekoh di Austria.

Antara faktor dikenal pasti ialah cuaca panas melampau di Austria dengan suhu di luar litar perlumbaan 33 darjah celcius dan mencecah sehingga 58 darjah celcius di atas litar.

Venue perlumbaan terletak 700 meter di atas paras laut bermakna kurangnya udara yang dapat membantu menyejukkan jentera sekali gus memburukkan lagi keadaan.

Wolff berkata dia bimbang masalah sama berulang jika perlumbaan berlangsung dalam cuaca panas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 1:29 PM