BARANIN ketika bersama Batu Dua FC. Foto Facebook B2FC
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Bekas tonggak import Batu Dua FC (B2FC), Ljuba Baranin berharap lebih ramai bekas rakan sepasukannya menyahut cabaran yang dilontarkan penaja utama kelab, Datuk Mohd Hazarul Ifdaz Mohamed Rahim supaya membuat laporan polis.

Mohd Hazarul atau turut dikenali sebagai ‘Tuan Muda’ sebelum ini didakwa sengaja menyerahkan cek palsu bagi mengelak membayar gaji pemain B2FC selain turut memberi layanan buruk khususnya kepada tonggak import.

Baranin yang kini berada di negara kelahirannya di Serbia menegaskan, ini adalah kesempatan terbaik buat pemain yang pernah menjadi mangsa untuk tampil mendedahkan perkara sebenar kepada pihak berkuasa.

“Saya sudah membuka jalan apabila mendedahkan sikap buruk ‘Tuan Muda’ terhadap saya. Bukan saya saja yang melalui nasib sama, malah ramai lagi rakan sepasukan yang menerima nasib malang.

“Pendedahan yang saya lakukan adalah demi kebaikan bola sepak Malaysia kerana saya amat menyayangi liga ini (Liga Malaysia). Disebabkan adanya individu seperti ‘Tuan Muda’ ini, bola sepak Malaysia menerima kesan buruk.

“Saya harap masalah ini dapat diatasi dan pemain tampil mendedahkan sikap sebenar individu itu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Menerusi laporan kelmarin, Mohd Hazarul menangkis segala tuduhan tidak berasas yang dilontarkan Baranin menerusi laman Facebook peribadinya dan mengaku beliau tidak bersalah.

Mohd Hazarul kemudian mencabar mana-mana pihak untuk mengheret dirinya ke muka pengadilan dengan membuat laporan polis.

Terdahulu, Baranin mendedahkan sikap sebenar dan layanan buruk yang diterimanya daripada Mohd Hazarul sejak menyertai kelab Liga M3 itu awal musim ini.

Malah, Mohd Hazarul turut dikaitkan sebagai individu utama yang menjadi punca masalah kepada empat kelab, Marcerra United, Kuantan FA, Hanelang dan Terengganu City FC hingga menyebabkan bekas pemain serta barisan kejurulatihan kelab berkenaan menderita tidak menerima gaji dengan anggaran keseluruhan mencecah RM5 juta.

Bagaimanapun, usaha Arena Metro untuk mendapatkan reaksi pemain tempatan terutamanya pemain B2FC gagal apabila masing-masing memilih untuk mengunci mulut daripada berkongsi kisah sebenar ekoran bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 8:00 AM