MEGAT Shahriman. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com

KECEWA dengan penangguhan mesyuarat agung tahunan (AGM) Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) calon presiden, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharuddin dan Timbalan Presiden, Dr S Radha Krishnan membayangkan untuk menarik diri daripada pencalonan jawatan.

Drama yang berterusan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dua calon itu yang menyifatkan ia sebagai tidak adil.

Megat berkata, jika mereka mahu menegakkan perkara yang tidak betul semua ahli jawatankuasa harus dipecat atau digantung.

“Saya menimbang melakukan sesuatu untuk membawa perkara ini hingga ke peringkat IPC (Majlis Paralimpik Antarabangsa) dan APC (Majlis Paralimpik Asia).

“Saya juga tak pasti sama ada mahu teruskan atau tidak kerana perlu ke luar negara untuk bekerja.

“Tapi kalau sesiapa nak ambil tempat najis itu, ambillah. Bau busuk seteruk-teruknya. basuh pun bau busuk najis,” katanya.

Sementara itu, Radha yang sudah lama berkecimpung dalam sukan itu meminta campurtangan Pesuruhjaya Sukan menyelesaikan kemelut dalam MPM.

Beliau berasakan tidak adil buat calon sebelum ini andai pencalonan baru dibuka semula.

Sementara itu, isu panas MPM berterusan apabila AGM bagi penggal 2019-2023 yang sepatutnya berlangsung semalam ditangguhkan.

Timbalan Presiden MPM, John Ng yang mempengerusikan AGM itu mengumumkan penangguhan selepas mesyuarat hampir dua jam di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan.

Penangguhan itu mendapat sokongan majoriti yang mana 14 daripada 24 ahli gabungan bersetuju untuk menangguhkannya ke satu tarikh yang akan diputuskan kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 10:00 AM