KARIM bersama manifesto menjelang pemilihan presiden baharu KOM. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com

SAMA ada penyandang jawatan nombor satu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim terus kebal atau tidak akan diputuskan hari ini.

Pada mesyuarat agung tahunan (AGM) yang akan diadakan di Majlis Olimpik Malaysia itu menyaksikan Karim akan dicabar timbalannya Datuk SM Muthu bagi penggal 2019-2022.

Tampil dengan perancangan terperinci untuk tempoh tiga tahun akan datang Karim tidak gentar dengan tohmahan yang dilemparkan kepadanya malah akan membuktikan apa yang dikatakan dalam manifestonya itu bukan omong kosong.

“Biarlah mereka di luar nak cakap apa pun saya tahu apa yang saya buat dan memang saya sudah buat kerja yang sepatutnya.

“Jika tidak percaya, anda semua boleh bertanya kepada atlet apa yang sudah saya lakukan kepada mereka.

“Contohnya Hakimi Ismail akan berlepas ke London untuk berlatih. Selain itu KOM hanya tunggu lampu hijau dari pelari pecut wanita Azreen Nabila Alias untuk dihantar berlatih ke Amerika Syarikat.

“Saya juga sudah mendapatkan penajaan untuk beberapa atlet. Tunggu saja dan lihat apa yang akan saya buat jika menang nanti,” katanya yang belum pernah tewas sepanjang berada dalam KOM.

Karim, yang memegang kerusi nombor satu KOM sejak 2014 mengintai peluang untuk mempertahankan jawatan buat kali ketiga berturut-turut.

Sementara itu, Muthu ketika dihubungi berkata, beliau tidak gentar untuk mencabar Karim dan meminta ahli jawatankuasa yang layak mengundi untuk membuat pilihan terbaik demi masa depan sukan olahraga negara.

Kehadirannya mencabar kerusi nombor satu badan induk itu bukan untuk mengejar nama tetapi dengan semangat kesukanan untuk menaikkan kembali martabat olahraga Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Shahidan Kassim memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden, sekali gus memberi laluan kepada pencabarnya, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar menang tanpa bertanding.

Menurut sumber, Shahidan menyuarakan pendiriannya itu menerusi surat yang dihantar kepada Pengurus Besar KOM, semalam.

Bagaimanapun tiada maklumat terperinci berhubung penarikan diri Shahidan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 7:01 AM