SKUAD Belanda meraikan kejayaan menewaskan Itali. - FOTO Reuters
AFP

BELANDA mencipta sejarah apabila layak kali pertama ke separuh akhir Piala Dunia Wanita selepas menewaskan Itali 2-0 di Valenciennes, hari ini.

Pasukan Belanda yang akan berkunjung ke Lyon untuk berdepan Jerman atau Sweden membolosi gawang Itali dalam tempoh 20 minit terakhir menerusi tandukan Vivianne Miedema dan Stefanie van der Graght.

Juara bertahan, Amerika Syarikat (AS) dan England berentap dalam satu lagi aksi separuh akhir pada awal pagi Rabu ini selepas AS menewaskan Perancis 2-1 dalam aksi menarik semalam.

Belanda dan Itali jelas kurang senang dengan aksi berlangsung pada tengah hari ketika Eropah dilanda cuaca panas melampau.

Bagaimanapun, Belanda lebih pantas menyesuaikan diri dengan suhu mencecah lebih 30 darjah apabila mendominasi babak kedua dengan permainan menarik sekali gus petanda amaran kepada Jerman atau Sweden.

Peluang terbaik Itali diperolehi pada babak pertama perlawanan menerusi Valentina Bergamaschi yang tidak dikawal tetapi rembatannya mudah diselamatkan penjaga gol Sari van Veednendaal pada minit ke-18.

Valentina kemudiannya kerap mengancam kubu Belanda dan tujuh minit sebelum tamat separuh masa pertama lorongannya kepada Valentina Giacinti gagal dimanfaatkan rakan sepasukannya di AC Milan itu.

Bagaimanapun, Belanda kembali garang pada babak kedua apabila percubaan Danielle van de Donk terkena palang pada minit ke-60 sebelum sepakan percuma menarik Sherida Spitse tersasar di sebelah kiri gawang Itali.

Gawang Itali mula bocor pada minit ke-70 apabila Miedema menanduk masuk hantaran lambung Spitse untuk jaringan ke 61nya dalam 80 penampilan antarabangsa.

Belanda mengesahkan kemenangan mereka menerusi tandukan Van der Graght pada minit ke-80 hasil sepakan percuma Spitse.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 12:22 AM