PEMAIN Perak, J Partiban (kiri) mengasak pemain Pahang, Herold Goulon di Stadium Perak. - FOTO Abdullah Yusof
Farah Suhaidah Othman
sukanteam@nstp.com.my

PERAK berjaya memadam kelebihan gol dimiliki Pahang apabila menundukkan skuad Tok Gajah 3-0 pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad The Bos Gaurus melayakkan diri ke perlawanan akhir dengan agregat 4-3 walaupun tewas 3-1 di Stadium Darul Makmur pada separuh akhir pertama minggu lalu.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, anak didik Mehmet Durakovic mula mengasak ke kubu pelawat sebaik perlawanan bermula namun beberapa serangan dilancarkan gagal membuahkan hasil.

Detik-detik kebangkitan skuad Seladang itu mula dapat dilihat menerusi jaringan pertama pemain tengah, Brendan Gan yang melakukan tandukan cantik pada minit ke-35 menewaskan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias hasil sepakan sudut Mohd Firdaus Saiyadi.

Perak terus garang dengan mengasak ke kubu lawan dan hasilnya J Partiban berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-41 menerusi rembatan cantik selepas menerima lorongan Careca sekali gus merapatkan agregat 3-3.

Belum sempat anak didik Dollah Salleh memperkemaskan permainan, The Bos Gaurus memperoleh gol ketiga tiga minit selepas itu hasil gol sendiri pertahanan Tok Gajah, Fauzi Rosli yang tertolak bola ke gawang sendiri.

Bermula babak kedua, Pahang mula memperkemaskan permainan dengan mengasak ke gawang tuan rumah melalui Dickson Nwakame, Lazarus Kaimbi dan Mohamadou Sumareh namun gagal menembusi pertahanan tuan rumah.

Perak hampir menambah derita Pahang pada minit ke-83 menerusi Careca namun jaringannya dibatalkan kerana offsaid.

Kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus Perak mengesahkan tiket ke perlawanan akhir dengan kemenangan agregat 4-3.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 11:21 PM