JOHN Ng (tengah) mengumumkam mesyuarat agung MPM kali ini ditangguhkan ketika sidang media di Kompleks Sukan Kampung Pandan. -Foto OWEE AH CHUN.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com


ISU panas membabitkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berterusan apabila mesyuarat agung tahunan (AGM) bagi penggal 2019-2023 yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan.

Timbalan Presiden MPM, John Ng yang mempengerusikan AGM itu mengumumkan penangguhan pemilihan berkenaan selepas selesai mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik.

Penangguhan itu turut mendapatkan sokongan majoriti yang mana 14 dari 24 ahli gabungan bersetuju untuk menangguhkan pemilihan AGM ke satu tarikh yang akan diputuskan kelak.

“Keputusan sudah dibuat untuk menangguhkan pemilihan sehingga mendapat tarikh baru sebelum dimohon ke PJS (Pesuruhjaya Sukan).

“Mesyuarat exco akan dilangsungkan dalam tempoh 30 hari untuk memutuskan tarikh baru AGM, ” katanya.

Sementara itu John enggan mengulas lanjut berhubung status calon yang sudah disenaraikan sama ada kekal ataupun dibuka semula.

Kedua-dua calon jawatan nombor satu MPM, bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan pencabarnya Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin tidak hadir.

Difahamkan, Megat Shahriman menghadiri pemilihan Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) dan memenangi kerusi presiden persatuan itu.

Kerusi nombor satu MPM itu hangat diperdebatkan apabila Khairy atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden Persatuan Ragbi Roda mencetuskan kontroversi apabila dikaitkan dengan menghantar borang pencalonan melebihi tempoh dibenarkan.

Perkara itu menyebabkan rasa tidak puas hati Megat yang menyerahkan sejumlah bukti kepada PJS bagi menyemak semula kelayakan bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 2:04 PM