LIONEL MESSI
AFP

LIONEL Messi mengakui Argentina akan berdepan tuan rumah Brazil dengan kekuatan seimbang dalam pertemuan separuh akhir selepas menewaskan Venezuela 2-0 awal pagi tadi.

Lautaro Martinez dan Giovani Lo Celso menjaringkan gol yang memberikan Argentina kemenangan suku akhir di Stadium Maracana Rio de Janeiro.

Ia adalah persembahan terbaik Argentina dalam kejohanan yang dimulai dengan kekalahan 0-2 kepada Colombia disusuli 1-1 dengan Paraguay.

“Sukar untuk melabelkan pasukan pilihan antara Argentina dan Brazil, apatah lagi di Copa America di mana sesiapa pun boleh menewaskan lawan mereka,” kata bintang Barcelona berusia 32 tahun itu menjelang aksi separuh akhir di Belo Horizonte awal pagi Rabu.

“Kami hormati mereka, kami sedar apa yang Brazil wakili,” katanya.

Pasukan tuan rumah turut bergelut ke separuh akhir, bekerja keras selama 40 minit menentang 10 pemain sebelum menewaskan Paraguay secara penalti selepas terikat tanpa jaringan di Porto Alegre pagi semalam.

“Kami berada di tahap terbaik untuk menentang Brazil tetapi kami perlu lebih fokus,” kata pemenang Ballon d’Or lima kali itu yang mengakui tidak berada di tahap terbaiknya.

“Saya tidak menikmati Copa America terbaik,” kata Messi.

Namun sebagai pasukan, Messi berkata persembahan mereka ke atas Venezuela adalah ‘sempurna’.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 10:44 AM