SEYDI L'imam. Foto Facebook Batu Dua FC
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Ibarat lari daripada mulut harimau, masuk ke mulut buaya.

Itu nasib yang menimpa seorang lagi pemain import Batu Dua FC, Seydi L'imam, selepas dikatakan tidak menerima gaji daripada kelab kontroversi itu dan kelab yang meminjamnya, Kelantan.

Menurut sumber, pemain berkenaan dipinjam untuk beraksi bersama Kelantan pada jendela perpindahan kedua baru-baru ini, kononnya mahu membantu skuad dari pantai timur itu mengharungi saingan Liga Perdana.

Namun, malang bagi pemain berusia 31 tahun itu apabila pengurusan Batu 2 FC seolah-olah mengambil tindakan lepas tangan dengan tidak membayar tunggakan gajinya sejak April lalu selepas dia bermain untuk Kelantan.

“Seydi dipinjamkan ke Kelantan, namun malang menimpanya apabila pasukan itu dikhabarkan tidak membayar gaji pemain terbabit berikutan menghadapi masalah tertentu.

“Pemain berasal dari Perancis itu terpaksa mengikut arahan pihak pengurusan Batu 2 FC yang menghantarnya bermain bersama Kelantan.

“Seydi masih lagi menghormati kontrak, namun tidak tahu sejauh mana boleh bersabar terutama baru-baru ini rakannya Ljubo meluahkan masalah terbabit di media sosial mengenai masalah pembayaran gaji,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, seorang lagi pemain import Batu Dua FC yang beraksi dalam Liga M3, Ljubo Baranin menimbulkan kontroversi apabila mendakwa ditipu pembayaran gaji apabila diberikan cek tendang oleh pengurusan kelab itu

Pemain kelahiran Serbia itu dalam laman Facebook miliknya juga mendakwa perbuatan itu didalangi seorang kenamaan (VIP) bergelar Datuk yang juga penaja kelab amatur berkenaan.

Dia juga bersyukur berjaya keluar daripada kelab itu yang disifatkannya ibarat neraka dan binatang terutama terhadap pemain import.

Sementara itu, Seydi ketika dihubungi enggan mengulas mengenai isu berkenaan kerana mahu menghormati kontraknya bersama pasukan.

“Saya tidak mahu mengulas mengenai perkara terbabit dalam masa terdekat ini, namun apa yang diluahkan oleh Baranin itu mungkin turut dilalui oleh pemain lain juga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 9:00 AM