MARTINEZ (tengah) cuba melepasi kawalan pemain Venezuela. -Foto AFP
Reuters

ARGENTINA kini melangkah ke saingan separuh akhir Copa America yang menjanjikan aksi lebih mendebarkan apabila bertemu Brazil selepas mempamer keputusan lebih memberangsangkan dengan menewaskan Venezuela 2-0 pada suku akhir dalam perlawanan pertama mereka di Maracana sejak tewas final Piala Dunia 2014.

Penyerang Lautaro Martinez meledak gol dalam perlawanan keduanya untuk meletakkan Argentina di depan pada minit ke-10 dengan tolakan tumitnya, mengalihkan rembatan Sergio Aguero yang menyambut sepakan sudut Lionel Messi.

Skuad Lionel Scaloni perlu bertahan dengan serangan bertubi-tubi Venezuela pada separuh masa kedua dan penjaga gol Franco Armani perlu bekerja keras bagi mengelak Ronald Hernandez menyamakan kedudukan.

Pemain gantian Giovani Lo Celso menjaringkan gol kedua yang amat diperlukan Argentina pada minit ke-74, apabila melorongkan bola ke gawang yang tidak diawasi selepas satu lagi rembatan daripada Aguero gagal ditangkap kemas penjaga gol Venezuela Wuilker Farinez.

Jaringan Lo Celso memberikan kemenangan melegakan buat Argentika dalam perlawanan pertama di Stadium Maracana yang ikonik sejak tewas 0-1 pada masa tambahan kepada Jerman, yang menjadi permulaan rentetan tiga kekalahan dalam final kejohanan utama.

“Kami sedar ia bukan mudah dan kami gembira mara ke separuh akhir. Biarpun melalui jalan sukar, kami sudah sampai ke sini,” kata penyerang Argentina, Aguero.

"Argentina-Brasil mencetuskan keterujaan di seluruh dunia, ia bukan perlawanan yang anda lalui setiap hari tetapi kami sudah berada di sini dan akan cuba sebaik mungkin.

Argentina mara ke suku akhir selepas kemenangan mendebarkan ke atas Qatar dalam perlawanan terakhir kumpulan selepas tewas kepada Colombia dan seri dengan Paraguay namun mereka menjangkakan ujian lebih hebat daripada Venzuela.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 8:57 AM