Nadal (kanan) mahu menjual bot mewahnya. FOTO Instagram Rafael Nadal/AP
Agensi

SUPERSTAR tenis, Rafael Nadal dilaporkan mahu menjual bot mewah empat bilik miliknya, ‘Beethoven’ pada harga £2.3 juta (RM12j).

Bintang tenis Sepanyol itu yang berasal dari pulau Balearic, Majorca, membeli bot Monte Carlo Yacht 76 itu pada 2016 pada harga £2.6j (RM13.6j) dan kerap belayar mengelilingi kampung halamannya itu.

Menurut akhbar tabloid Britain, juara Grand Slam 18 kali itu bernilai £28j (RM147j).

Nadal, 33, kini bersedia berpisah dengan bot itu malah sanggup mengurangkan harga sebanyak £300,000 (RM1.6 juta) berbanding harga dibeli tiga tahun lalu.


Nadal ketika bercuti di atas bot mewahnya. FOTO Instagram Rafael Nadal

'Beethoven' adalah bot mewah Monte Carlo dengan panjang 75 kaki (23 meter), mempunyai empat bilik, ‘flybridge’, televisyen, peti sejuk dan mampu mencapai kelajuan 35bsj (56 km/h).

Nadal yang dianggap sebagai Raja Gelanggang Tanah Liat menyifatkan bot itu seperti rumahnya dan menggunakannya untuk mengelak daripada menjadi tumpuan dan menikmati masa peribadi bersama keluarga dan rakan rapat.

Dalam temu ramah bersama majalah Barche, Nadal berkata: “Bagi saya, berada di atas bot itu membolehkan saya relax dan menikmati detik saya sendiri tanpa menjadi tumpuan.

“Saya suka berada bersama orang lain tetapi ia memberikan saya peluang menjauhkan diri daripada menjadi tumpuan dan berada bersama orang tertentu apabila saya perlu berbuat begitu.”

“Ia amat penting buat saya dengan gaya kehidupan seperti sekarang. Saya suka laut dan saya rasa boleh hidup bersama laut.

“Mungkin saya akan menghabiskan lebih banyak masa dalam pelayaran selepas ini, ia sesuatu saya anggap sebagai gaya hidup dan saya menyukainya.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 7:18 PM