Nwakaeme (kiri) dan Kaimbi taruhan Tok Gajah bolosi pertahanan Perak. FOTO NSTP
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


PAHANG kembali menyenaraikan kesebelasan utama berdepan Perak pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, Ipoh, malam esok.

Dalam saingan Liga Super Selasa lalu, skuad Tok Gajah yang hanya membariskan skuad simpanan kecundang 2-5 di tangan Selangor.

Justeru, skuad kendalian Dollah Salleh yang juga juara bertahan sedia untuk mengecewakan The Bos Gaurus buat kali kedua.

"Saya merehatkan skuad utama dalam saingan Liga Super Selasa lalu, kerana mahu memastikan mereka (kesebelasan utama) berada dalam kecergasan terbaik.

"Kembalinya mereka pada perlawanan timbal balik di Ipoh malam esok, diharap membantu misi kami layak ke final musim ini.

"Dengan kesungguhan dan semangat juang tinggi dipersembahkan pada aksi pertama di Kuantan minggu lalu, saya percaya pemain dapat tampil dengam aksi mantap," katanya.

Pada perlawanan esok, Dollah, bekas pemain Kebangsaan dijangka kembali mempertaruhkan gandingan Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi bagi memperkuatkan jentera serangan.

Kehadiran Nwakaeme dinantikan kerana penyerang Nigeria itu hanya beraksi 30 minit selepas mengalami kecederaan ketika aksi di Kuantan yang menjejaskan percaturan pasukan.

"Saya harap Nwakaeme dapat memberi tekanan kepada pertahanan tuan rumah dan melakukan jaringan bersama Kaimbi.

"Pada masa sama, jentera tengah dan pertahanan juga tidak sesekali melakukan kesilapan bagi mengelak dihukum skuad Perak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 4:05 PM