LECLERC menghuni tangga ketiga di GP Perancis, minggu lalu. — FOTO formula1.com
Reuters

CHARLES Leclerc enggan memberi harapan palsu pada Grand Prix Austria dan menyatakan Ferrari berdepan satu lagi hujung minggu sukar dengan musuh yang dominan Mercedes memburu kemenangan ke-11 berturut-turut.

Pasukan paling tua dan berjaya Formula Satu itu tiba di litar menarik Spielberg 140 mata di belakang juara bertahan, yang menang semua lapan perlumbaan tahun ini menerusi pemandu Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas.

Leclerc, dalam musim sulungnya bersama Ferrari, berakhir di tangga ketiga pada GP Perancis di Le Castellet, Ahad lalu.

“Saya fikir ketika ini ia agak sukar. Mereka kelihatan terlalu pantas,” kata pemandu berusia 21 tahun dari Monaco itu apabila ditanya sama ada Ferrari boleh bersaing dengan Mercedes di Litar Red Bull.


LECLERC menghadiri sidang akhbar pemandu menjelang GP Austria di Spielberg, semalam. — FOTO AFP

“Mereka terlalu pantas di Paul Ricard, jadi saya fikir lebih baik kami fokus terhadap pasukan sendiri dan cuba melakukan tugas sebaik mungkin. Tapi secara jujur, agak sukar untuk berada di tahap mereka.”

Leclerc masih memburu kemenangan sulung kariernya, hampir melakukannya pada perlumbaan kedua musim di Bahrain apabila dia mendahului dari petak utama sebelum mengalami masalah enjin.

Pemandu muda itu sudah tiga kali menjejak podium dan kelihatan lebih mengharap selepas perlumbaan Ahad lalu, yang mana dia mengejar Bottas sebelum berakhir 0.929 saat di belakang pemandu Finland itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 1:07 PM