JESUS (kiri) mengelirukan penjaga gol Paraguay, Roberto Fernandez bagi menjaringkan penalti kemenangan Brazil. — FOTO Reuters
AFP

GABRIEL Jesus menjaringkan gol kemenangan pada penentuan penalti penuh tegang ketika Brazil menamatkan badi mereka sebelum menewaskan Paraguay awal pagi tadi untuk layak ke separuh akhir Copa America.

Dua kali sebelum ini pada 2011 dan 2015, Paraguay mengalahkan Brazil pada peringkat sama menerusi penentuan penalti kejohanan Amerika Selatan itu.

Willian hampir menjaringkan gol pada masa sebenar buat Brazil apabila percubaannya terkena palang ketika Paraguay bertahan dengan kedudukan 0-0 lebih 40 minit susulan Fabian Balbuena dibuang padang kerana kekasaran profesional terhadap Roberto Firmino.

Media Brazil hampir bagaikan disampuk sebelum perlawanan itu apabila mengimbau memori pilu kejohanan di Argentina pada 2011 dan Chile empat tahun kemudian tatkala Paraguay menghasilkan permainan bertahan sebelum meraih kemenangan menerusi loteri sepakan penalti.


ALISSON (kanan) menyelamatkan sepakan penalti Gomez. — FOTO EPA

Namun ia tidak berlaku kali ini ketika penjaga gol Brazil, Alisson menyelamatkan percubaan penalti pertama Gustavo Gomez di Arena Gremio, Porto Alegre.

Sekalipun penalti Firmino tersasar ke sebelah kiri gol, Derlis Gonzalez menuruti jejak langkahnya sekali gus membolehkan Jesus, yang mensia-siakan penalti pada aksi terakhir Brazil, muncul menjadi penyumbat penalti kemenangan.

Tuan rumah kejohanan itu akan berdepan sama ada musuh tradisi Argentina atau Venezuela pada separuh akhir di Belo Horizonte, pertengahan minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 11:49 AM