SHAHRIMAN menunjukkan sebahagian bukti pada sidang media, semalam.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Jijik. Itu reaksi calon Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Megat D Shahriman Zaharudin berhubung situasi yang membayangi pemilihan pucuk pimpinan badan berkenaan pada Sabtu ini.

Terbaru Shahriman menyerahkan sejumlah bukti kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan bagi menyemak semula kelayakan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin merebut jawatan nombor satu bagi mesyuarat agung tahunan (AGM) MPM itu.

Malah, beliau yang juga Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) mendakwa mempunyai bukti berhubung arahan pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) supaya ahli gabungan yang layak mengundi Khairy.

“Terdapat beberapa keraguan dengan kedudukan Khairy sebagai Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia (MWRF), atau mungkin berlaku permalsuan dokumen. Timbalan Presiden yang dipilih bagi penggal 2018/2019, Tan Ah Bee kini adalah Naib Presiden 3 sedangkan tiada berlaku sebarang pemilihan pada AGM pada awal tahun ini bagi persatuan berkenaan.

“Ia tidak mengikut perlembagaan kerana jawatan nombor dua berkenaan hanya boleh diisi jika Ah Bee meletak jawatan atau berhenti selain perlu digantikan dengan calon yang tewas pada AGM MWRF lalu. Tiada sebarang bukti seperti gambar dan sebagainya sekiranya benar Khairy dipilih sebagai Timbalan Presiden.

“Malah, jika individu berkenaan memang sayangkan sukannya, sudah pasti terdapat banyak gambar atau tanda sokongan di laman sosial bersama atlet atau sebagainya, namun saya tidak menemuinya,” dakwanya.

Lebih mengejutkan apabila Shahriman mendakwa mempunyai bukti menerusi aplikasi WhatsApp terdapat pegawai MSN yang meminta undi diberikan kepada Khairy selain rakaman audio.

“Ini sesuatu yang melanggar etika dan mereka sepatutnya tidak campur tangan,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau sudah menyerahkan surat bantahan bersama semua bukti kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan semalam bagi menyiasat dan keputusan mengenainya dijangka diketahui dalam tempoh 72 jam selain memanjangkannya kepada Kementerian Belia dan Sukan dan MSN.

“Saya tidak mempunyai masalah untuk berdepan cabaran dalam bertanding, namun perlulah mengikut peraturan ditetapkan. Apa yang berlaku adalah perkara yang jijik dan sangat memalukan.

“Anda akan mempunyai presiden yang ‘penipu’ dan mengheret ahli gabungan ke ‘longkang’ serta lebih malang atlet akan terpalit. Saya geli dengan semua ini,” katanya.

Terdahulu pencalonan Khairy atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden MWRF mencetuskan kontroversi apabila turut dikaitkan dengan menghantar borang pencalonan melebihi tempoh dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 8:30 AM