SYED Saddiq.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Malaysia akan meneruskan cadangan membida hak penganjuran bersama Piala Dunia 2034 dengan serius, sekalipun China membida penganjuran acara bola sepak terbesar dunia itu 2030.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkara itu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet kelmarin.

Katanya, pendirian kerajaan jelas malah mendapat sokongan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku penyokong tegar dan penggerak bola sepak negara serta Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pendirian rasmi kerajaan akan tetap teruskan bidaan ini dengan serius sebab perkara ini dibangkitkan pada mesyuarat pemimpin ASEAN dihadiri Perdana Menteri baru-baru ini.

“Cuma kita faham, jika China menang bidaan Piala Dunia 2030, maknanya kita perlu tunggu minimum 2038. Tapi kita akan cuba yang terbaik. Pada masa sama kita perlu berhubung dengan pihak China untuk mengetahui status hasrat mereka itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Pembangunan Bola Sepak antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Asia Pacific Sports, Mesuma Sport dan Regent International School di sini semalam.

Ahad lalu, Pengerusi ASEAN, Jen Prayuth Chan o-cha dipetik berkata, 10 negara anggota ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok, bersetuju membangunkan satu usaha bersama untuk menjadi ASEAN sebagai tuan rumah Piala Dunia FIFA pada tahun 2034.

Syed Saddiq berkata, setakat ini beliau difahamkan China belum menghantar permohonan rasmi untuk membida hak penganjuran Piala Dunia 2030.

“Walaupun mereka sudah menghantar permohonan, belum tentu akan menang dan berbaloi untuk kita teruskan cadangan untuk tuan rumah bersama negara ASEAN,” katanya.

Ditanya mengenai negara mana akan terbabit perbincangan dengan China, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan kemudian.

“Di pihak Malaysia, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri sudah memberikan lampu hijau dalam Mesyuarat Kabinet semalam (kelmarin) dan mengarahkan kementerian saya berbincang perkara ini dengan serisu bersama pihak Duta Besar China ke Malaysia, (Bai Tian),” katanya.

Mengenai pembabitan Israel dalam Piala Dunia, Syed Saddiq enggan menjawab ketika diajukan perkara itu dan menegaskan pendirian kerajaan jelas untuk membida sebagai hos Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 8:00 AM